Sejarah Sekolah
SEJARAH SEKOLAH
SK Taman Pantai Sepang Putra telah ditubuhkan pada November 2002 dan mula beroperasi pada 1 Januari 2003. Seramai 13 kakitangan telah dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan sekolah ini iaitu 11 orang guru dan seorang kerani bagi menguruskan urusan pentadbiran dan pengurusan sekolah.
Pentadbir pertama yang bertanggungjawab membangunkan sekolah ini adalah Tuan Haji Mohamad Nasir bin Meskam yang bertugas sebagai Guru Penolong Kanan Pentadbiran dan Kurikulum, Tuan Haji Mohamad Hilal bin Mad Noh memegang jawatan sebagai Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Encik Mohd Zaki bin Said sebagai Guru Penolong Kanan Ko-kurikulum. Seramai lapan orang guru lain juga telah bersama-sama berpadu tenaga bagi merealisasikan sekolah ini iaitu : Pn Noripah bt Darusan,Pn Sri Suhana bt Silim, Pn Mariana bt Mukri, Pn Kilauwati bt Abdullah, Pn Khalijah bt Ibrahim, Cik Aznita bt Mohamed Akhyar, Pn Mazliah bt Misran dan Pn Jameah bt Yasin.
Bagi melancar dan mengukuhkan lagi operasi pengendalian di sekolah, Tuan Haji Mohmad Nasir dengan kerjasama guru-guru telah membuka kedai buku sekolah untuk menyediakan kelengkapan untuk pengajaran dan pembelajaran seperti buku tulis, alat tulis dan sebagainya.
Misi, visi dan lagu sekolah telah dicipta sendiri oleh warga perintis sekolah ini secara eksklusif oleh Tuan Haji Nasir bin Meskam, Tuan Haji Mohd bin Mad Noh dan juga Encik Mohd Zaki bin Said.
Pada April 2003, Guru Besar pertama telah ditugaskan bagi menyempurnakan lagi struktur organisasi sekolah ini iaitu Tuan
Haji Mohammad Noor bin Sanusi. Kemudahan yang telah tersedia pada ketika ini merangkumi kemudahan di dalam kelas seperti kerusi dan meja, papan hitam dan sebagainya dan juga sistem keselamatan yang dititikberatkan dengan adanya pengawal keselamatan yang bertugas setiap masa.
Pada awal pembukaannya, seramai 150 orang murid telah mendaftar dari Tahun Satu hingga Tahun Lima. Bilangan murid kemudiannya meningkat dari tahun ke tahun. Pada tahun 2004, dengan murid seramai 250 orang, kelas tahun enam dan kelas Program Pendidikan Khas Intergrasi telah diwujudkan. Puan Latifah bt Nikmat adalah Penolong Kanan PPKI yang pertama.
Pada tahun 2009, murid sekolah ini pernah mencapai seramai 670 orang dengan kekuatan guru seramai 51 orang. Kini, pada tahun 2017, murid-murid SKTPSP adalah seramai 573 orang dengan guru seramai 55 orang dan kakitangan bukan guru seramai 8 orang.
Kemudahan prasarana semakin berkembang sejajar dengan percambahan penduduk yang kian bertambah dari semasa ke semasa. Pra-sekolah telah ditubuhkan pada 2005 dan seramai 25 orang murid telah mendaftar bagi memenuhi keperluan pendidikan awal kanak-kanak pada waktu itu. Pada tahun 2007 telah dibuka pra-sekolah yang kedua bagi menampung peningkatan murid yang mendaftar dengan jumlah 25 orang. Pada tahun 2010 telah diwujudkan kelas Pendidikan Khas untuk murid pra-sekolah bagi murid kurang upaya.
Pada tahun 2022, SK Taman Pantai Sepang Putra diakronimkan sebagai SENTRA setelah melalui perbincangan pentadbir sekolah dan AJK PIBG. Lagu sekolah juga telah dibuat susunan muzik yang baharu dengan sedikit ubah suai seni kata lagu.